Monday, March 4, 2013

Terkini! Polis Sahkan Penceroboh Mati Dibelasah Penduduk Kampung!


LAHAD DATU - Polis mengesahkan seorang lelaki bersenjata M16 yang maut dibelasah penduduk Kampung Senallang Lama, Semporna adalah seorang daripada anggota kumpulan penceroboh bersenjata yang menyelinap masuk ke negara ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata, siasatan polis mendapati penceroboh itu merupakan seorang lelaki berbangsa Sulu dan berumur 60-an.

Lelaki itu yang turut membawa pelancar roket menyelinap masuk melalui jalan pantai ke Kampung Senallang Lama kira-kira pukul 5 pagi, katanya pada sidang akhbar di Residental Falda Sahabat kira-kira 30 kilometer dari sini hari ini.

Beliau berkata, penceroboh itu telah mengarahkan kira-kira 80 penduduk kampung berkenaan untuk keluar berkumpul di satu kawasan lapang berhampiran sebuah surau dan menjadikan mereka tebusan.

“Ekoran itu, 20 pemuda kampung telah bertindak dengan menyerang dan menangkap lelaki itu sebelum memukulnya hingga mati.

“Pada saya, tindakan itu walaupun dari segi undang-undang nampak salah, tetapi kita perlu ingat mereka dianggap tawanan. Mereka mengambil tindakan balas untuk menyelamatkan diri,” katanya.

Sementara itu, Hamza berkata polis dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia sedang menyediakan perincian akhir sebelum mengambil tindakan drastik terhadap kumpulan penceroboh yang masih enggan menyerah diri.

Beliau berkata walaupun pihaknya sudah menjatuhkan risalah tapi mereka masih enggan menyerah diri.

“Setakat ini tiga anggota kumpulan penceroboh itu ditahan ketika cuba keluar dari kawasan kawalan di kampung Tanduo. Dua daripada mereka ditahan semalam dan seorang lagi ditahan pagi ini,” katanya.

Beliau berkata, tiga lelaki itu adalah anggota kumpulan berkenaan yang pertama ditahan oleh pasukan keselamatan selepas mereka menceroboh kampung itu yang kini masuk hari ke-20.

Hamza turut mengulangi ingatannya kepada orang ramai khususnya penduduk negeri ini supaya tidak mudah percaya dengan khabar angin tanpa pengesahan daripada sumber rasmi.

1 comment:

Lu orang kasi tulis apa lu orang mau, Wa tak bertanggujawab!

PANDAI BUAT PANDAI TANGGUNG KAHKAHKAH