Thursday, June 20, 2013

Wa Dah Kembali - Artikel Khas Untuk orang-orang UMNO seluruh negara, bacalah kalau BERANI

Kepada der-der semua wa nak share satu email yang agak panas sikit. Sorry la der-der dari UMNO semua, wa setuju dengan isi kandung email ni. Lu orang baca, ini budak berani kasi nama dia masa hantar email sama kawan wa..wa respek sama lu der...

WAHAI UMNO...

Sedia maklum bahawa Malaysia telah melalui suatu frasa atau proses demokrasi iaitu PRU-13 yang menyaksikan UMNO menambah kerusinya daripada 79 kepada 88,jumlah yang hampir menyamai kerusi yang dimenangi PR yang merangkumi tiga parti komponen.Namun,fakta pahit yang lebih serius adalah kerusi Barisan Nasional(BN) turun daripada 140 kepada 133 dan majoriti dua per tiga dinafikan buat kali kedua berturut-turut di samping polarisasi kaum yang makin ketara.Justeru janganlah mendabik dada terlalu lama dengan peningkatan kerusi itu kerana makin berat tanggungjawab UMNO BN sebenarnya untuk membetulkan perkara ini.

Dato’ Seri Najib tidak dinafikan banyak inisiatifnya untuk meringankan beban rakyat namun keputusan PRU lalu menunjukkan ia bukan itu sahaja.Ini bukan zaman 40 50 tahun dulu.Rakyat Malaysia sebenarnya baru saja hidup dalam kecelikan politik dan pentadbiran negara terutamanya dalam golongan muda.

Jadi pemimpin haruslah bergerak seiring dengan kecelikan ini walaupun kepandaian mereka jauh berbeza.Sebagai contoh,tidak perlulah mempromosi ETP,GTP,NKRA dan sebagainya secara berlebihan kerana bukan ini yang rakyat mahu teliti,biarlah rakyat rasa nikmatnya saja nanti.

Mereka akan melihat pelbagai isu kecil yang masih gagal diselesaikan.Isu yang dekat di hati rakyat adalah rasuah,pendidikan,keselamatan,jenayah,infrastuktur dan sebagainya.Ini tidak diberi pendekatan yang betul oleh UMNO BN.

Saya akui terdapat usaha pemimpin kerajaan untuk mendekati rakyat terutama dari segi media sosial namun jujur untuk dikatakan banyak orang kerajaan sendiri yang menggagalkan perkara ini dan paling saya tersentak adalah dengan peringatan keras dua tokoh politik negara,Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Daim Zainuddin yang saya kira tidaklah terlalu meraikan peningkatan kerusi UMNO dan pengekalan kuasa BN.

Mereka melihat bahaya yang lebih besar.Mereka melihat politik dalam UMNO itu sendiri yang lemah walaupun sudah berkali-kali diberi peringatan untuk bersatu dan berkhidmat.Tun Daim mengkritik keputusan-keputusan populis kerajaan dengan panjang lebar manakala Tun Dr Mahathir membidas prinsip perjuangan UMNO itu sendiri terutama di peringkat akar umbi.

Beliau berkata kalau UMNO tidak berubah maka UMNO akan terkubur jua.Peringatan kedua-dua tokoh ini sebenarnya wajib diberi perhatian kalau UMNO mahu terus survive dalam landskap politik baru ini kerana mereka sudah masak dan boleh jangka selok-belok politik melalui kebijaksanaan dan pengalaman mereka..Sayang seribu sayang biasanya peringatan tokoh-tokoh seperti ini selalu tidak diendah termasuk oleh Perdana Menteri sendiri.

Kini mahu national reconcilian pula yang secara prinsipnya dipersetujui.Namun sebenarnya agenda rekonsiliasi itu patut bermula dalam UMNO dahulu dan dikorek hingga ke bawah untuk membetulkan segala-galanya ! Carilah sebab kenapa orang Melayu terutama generasi muda merasa jauh dengan UMNO dan ubahlah.Carilah sebab mengapa orang Cina masih enggan undi BN walaupun ramai pimpinan kerajaan sudah menjadi Cina “celup” untuk memuaskan hati mereka.

Tariklah anak-anak muda dan mahasiswa untuk berwacana,sediakanlah platform akademik sebanyak-banyaknya sebagai audition untuk mencungkil bakat mereka dan tapislah mereka yang berbakat untuk ditarik berjuang bersama dalam UMNO.Bagilah mereka harapan,tempat sekali gus keyakinan untuk menyumbang kepada UMNO.Bukan setakat “kalau mahu masuk UMNO isilah borang” sebaliknya promosikanlah “Jika anda rasa berbakat,sertailah UMNO!”.

Selain itu,banyakkanlah turun padang untuk mengajak yang layak mengundi untuk daftar.Sediakanlah sebanyak-banyak pondok sekerap-kerapnya untuk mereka mendaftar.Berilah penerangan tentang manfaat mengundi dalam program-program yang melibatkan mereka.Seterusnya Dato’ Seri Najib yang kredibiliti penasihat-penasihatnya menjadi pertikaian sepatutnya hentikanlah mempromosi populariti peribadi beliau secara keterlaluan menggunakan segala saluran.

Rakyat menyampah,termasuk penyokong BN.Berhentilah membuat kenyataan-kenyataan dan keputusan populis demi undi kerana kita sudah tahu undi tidak dapat pun,sebaliknya jadilah seorang realis dan biar rakyat rasai manfaat realis itu kelak dan serahkan kepada mereka.Masalah-masalah ini patut diselesaikan seiring dengan pemikiran rakyat.

Kita sudah diberi peluang sekali lagi,takut-takut kalau inilah peluang terakhir kerana PRU 14 nanti kebangkitan pengundi yang lahir tahun 90-an akan mengundi.Kita risau kalau mereka ini enggan mengundi UMNO BN kerana mereka tidak nampak sebab yang konkrit.Mereka tidak nampak UMNO sebagai sahabat Melayu-Islam sebaliknya melihat UMNO adalah parti elitis dan bangsawan tua.Ya itu persepsi umum tapi cubalah ubah kerana ia demi masa depan UMNO dan Malaysia !

Perkara sebegini bukan saja patut dilakukan oleh UMNO,tetapi juga parti-parti komponen lain bahkan mereka sepatutnya lebih serius lagi.Perkara sebeginilah yang diperlukan UMNO BN supaya kekal relevan dan sebagai pilihan sepanjang zaman.Wahai UMNO BN,ubahlah !

HAFIZUDDIN AMIR BIN DATO’ HASIM

PELAJAR UNDANG-UNDANG UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA,BANGI.