Sunday, February 10, 2013

Mahathir Mahu BN Bekerja Keras Kalau Nak Menang Majoriti 2/3


KUALA LUMPUR - Barisan Nasional (BN) perlu berusaha keras untuk mendapatkan semula majoriti dua pertiga dalam pilihan raya umum akan datang, sekali gus menghakis ancaman perpecahan sesama Melayu, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, BN juga bertanggungjawab untuk mempertahankan kemenangan demi masa depan bangsa dan negara dan sehubungan itu penting bagi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi BN membariskan calon yang betul.

"Pentadbiran harus membariskan calon 'winnable' (boleh menang) di kawasan-kawasan yang mereka paling sesuai. Sebagai contoh, salah untuk meletakkan calon bukan Melayu di kawasan majoriti Melayu kerana Umno tidak akan mendapat sokongan dari orang bukan Melayu," katanya.

Dr Mahathir berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada forum bertajuk 'Perlembagaan Negara dan Masa Depan Keselamatan Negara' di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), hari ini.

Jelas beliau, penempatan calon di sesuatu kawasan perlulah bijak supaya pengundi akan mengundi BN.

"Inilah yang bermakna kongsi. Barisan Nasional ialah satu coalition (satu perkongsian). Bukan macam Pakatan Rakyat (PR). Pakatan bukan kongsi, bukan coalition. Ia cuma pakat. Macam pakat nak bunuh orang. Jadi lepas pakat, nak buat kerajaan macam mana.

"Pas tarik sebelah sana, DAP pula sebelah sini. Yang Datuk Seri Anwar (Ibrahim) konon nak jadi Perdana Menteri," katanya.

Dr Mahathir juga berkata, sesetengah pemimpin Umno telah tergelincir daripada perjuangan asal parti, iaitu untuk menegakkan bangsa Melayu.

"Kini, beberapa ahli politik berjuang untuk datang ke kuasa dan mengekalkan ia, dan sanggup untuk sabotaj antara satu sama lain bagi maksud itu," katanya.

Ditanya sama ada orang Melayu sudah kehilangan kuasa, Dr Mahathir berkata, "orang Melayu hilang kuasa kerana berpecah."
"Dalam sebuah demokrasi, jumlah terbesar ialah yang kuasai keadaan. Bila dia berpecah dan melawan sesama sendiri, mana boleh berkuasa," katanya.

"Sekiranya orang Melayu suka hilang kuasa, mereka boleh 'give up'. Ada orang Melayu yang tidak suka melihat orang Melayu berkuasa, sebab dia sudah dapat semua, biasiswa, kerja dan lain-lain, apa peduli orang lain", katanya lagi.

Ditanya sama ada perlu untuk BN menang majoriti dua pertiga, Dr Mahathir berkata, kemenangan dua pertiga amat perlu sekiranya ingin meminda Perlembagaan Persekutuan.

"Kalau tidak ada kemenangan dua pertiga, maka ia menunjukkan kerajaan yang lemah, yang akan ditekan oleh parti lawan," terang beliau.

Terdahulu, dalam ucapannya, Dr Mahathir mengingatkan rakyat Malaysia menggunakan akal fikiran ketika membuat keputusan untuk mengundi parti mana dan tidak semata-mata berpandu kepada emosi bagi menentukan masa depan negara.

Beliau berkata, emosi dan perasaan mungkin akan mendorong rakyat buat keputusan yang salah dan sebab itu perlu disokong pemikiran waras agar mampu membuat penilaian bijak.

Katanya jika rakyat mahu sentiasa dihormati dan disegani, mereka perlu bertindak secara bijak dan tidak mudah terpengaruh agar urusan pembangunan negara akan berjalan dengan lebih lancar.

"Saya harap rakyat sedar dan boleh berfikir, harap mereka tidak terbawa-bawa dengan emosi dan perasaan. Oleh itu, penggunaan akal fikiran serta merancang strategi akan menentukan masa depan negara," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata Perlembagaan Negara mesti dipelihara dan dipertahankan pada setiap masa oleh seluruh rakyat Malaysia.

-Bernama

3 comments:

  1. setakat hari ini dai pemehatian saya . bn maseh lg tidur. yg kuat bekerja xhenti henti cuma pm, tpm dan tun sendiri. penyakit berada dlm zon selesa maseh terbawa bawa. pas siang mlm bekeja, pkr rata pasar mlm dan pasdar tani mereka jengah. banner ceramah kebangkitan rakyat rata simpang mereka tadah. mana pekerja bn. apa mereka buat. semalam saya dah pun menalipon ketua umno ampang jaya. saya nyatakan apa yg saya terkilan, nape slow sangat. saya bkn ahli umno. tp kecintaan saya pada kerajaan buat saya terpanggil melawan pas dan pkr. ramai org2 seperti saya diluar parti. kdg2 sakit hati tengok jentera umno yg maseh liat untuk bekerja. kalau dah kalah nanti baru nk buat itu ini. .datuk ismail kijo kalah diampang pasai feel inilah

    ReplyDelete
  2. ya .... bekerja keras dengan KEIKHLASAN DEMI KEMAKMURAN NEGARA DAN KESEJAHTERAAN RAKYAT. Yakin kan sekalian rakyat dan hapuskan segala kesangsian sebilangan rakyat yang ditanam oleh pihak pembangkang ... insyaallah, pasti dapat 2/3 majoriti.
    -atas pagar-

    ReplyDelete
  3. Ini Mamak sudah tua lagi banyak cakap ! Pergi jaga baik-baik duit dan harta kekayaan keluarga mu. Jangan campur politik lagi !

    ReplyDelete

Lu orang kasi tulis apa lu orang mau, Wa tak bertanggujawab!

PANDAI BUAT PANDAI TANGGUNG KAHKAHKAH