Wednesday, August 15, 2012

Kempen Penerangan Umno di daerah mengundi mulai Ogos




JERLUN - Bermula Ogos ini, program penerangan Umno diadakan di peringkat pusat daerah mengundi sebagai persediaan akhir menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan berkata program yang menjadi ganti kepada Program Juara Rakyat itu yang sebelum ini diadakan di setiap bahagian, akan diadakan hampir setiap hari.

"Kita ada kira-kira 7,000 pusat daerah mengundi di seluruh negara. Urusetianya adalah Ketua Penerangan bahagian-bahagian," katanya kepada pemberita selepas majlis Sahur Perdana di Kerpan dekat sini, awal hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir yang juga Anggota Parlimen Jerlun, Ketua Umno Bahagian Jerlun Datuk Abu Hassan Shariff dan Setiausaha Perhubungan Umno Negeri Kedah Datuk Othman Aziz.

Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata kempen penerangan itu perlu bagi menjelaskan usaha-usaha kerajaan dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat di negara ini termasuk bantuan-bantuan yang diberikan.

"Ini merupakan negara berkebajikan. Tuntutan PAS untuk menjadikan Malaysia sebagai negara berkebajikan sudah tidak relevan. Negara kebajikan ini telah kita buat, sedang buat dan terus buat. Jadi dalam hal ini PAS sudah tidak diperlukan di Malaysia dan juga Kedah.

"Perjuangan PAS sudah tidak relevan. Negara berkebajikan Umno dah buat.

Pembangkang hanya berjanji. Janji mereka dalam manifesto di empat negeri yang ditawan banyak tetapi yang ditunaikan hanya sebahagian kecil," katanya.

Ahmad berkata kerana itu rakyat perlu kembali menyokong Umno dan Barisan Nasional (BN) kerana banyak lagi kebaikan menanti rakyat Malaysia.   

"Kita bukan hanya berjanji sahaja. Kita ada kaedah untuk menunaikan janji.

Seperti BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) kita ada untung RM26 bilion, maka kita gunakan 10 peratus...RM2.6 bilion untuk BR1M. 

"Janji pembangkang ini umpama umpan di hujung mata kail...kalau termakan mereka sebenarnya tertipu," katanya.

Bernama

No comments:

Post a Comment

Lu orang kasi tulis apa lu orang mau, Wa tak bertanggujawab!

PANDAI BUAT PANDAI TANGGUNG KAHKAHKAH