Saturday, August 11, 2012

Cipta Tema Lain Hari Kemerdekaan, Pembangkang Keliru: Dr M



KUALA LUMPUR: Sikap pembangkang yang bersungguh-sungguh mencipta tema Hari Kemerdekaan lain daripada yang dicadangkan oleh kerajaan menunjukkan mereka keliru dan dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau dalam pada itu berkata, kerajaan mempunyai hak untuk memutuskan sebarang slogan bagi digunakan untuk menyambut Hari Kemerdekaan.

“Itu menunjukkan mereka (pembangkang) confuse, tak tahu apa nak buat. Masing-masing pull in every direction…tak apalah…itu pembangkanglah.

“Pandangan saya (mengenai tema Janji Ditepati) memanglah, kalau kita janji kita kena tunaikan,” katanya ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa tema Hari 
Kemerdekaan tahun ini adalah berlandaskan ajaran Islam.

Setelah timbul dengan pelbagai cadangan, pakatan pembangkang akhirnya sepakat memilih ‘Sebangsa, Senegara, Sejiwa’ sebagai tema alternatif Hari Kemerdekaan ke-55 bagi menggantikan tema ‘Janji Ditepati’ oleh kerajaan Barisan Nasional.

Ditanya mengenai pendapat bahawa haram menyokong parti DAP kerana menentang penubuhan negara Islam dan pelaksanaan hukum hudud, Dr Mahathir berkata:

“Itu pendapat mereka yang mempunyai ilmu yang mendalam berkenaan agama. Terpulanglah kepada orang Islam sama ada nak terima atau tidak.”

Beliau bagaimanapun merasakan bahawa tidak ramai yang akan menerima pandangan yang disuarakan oleh seorang guru agama tersebut memandangkan masih ramai yang tidak melaksanakan perintah Allah sebagai seorang Muslim.

Mengenai projek kad pengenalan di Sabah, Dr Mahathir berkata, rakyat asing yang telah menetap lebih dari 12 tahun di negara ini sememangnya berhak untuk memohon kerakyatan Malaysia.

Bagaimanapun, katanya, ia terpulang kepada pihak kerajaan untuk meluluskan permohonan mereka atau tidak.

Beliau juga berpendapat penubuhan Suruhanjaya Diraja bagi mengatasi masalah pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah tidak akan dapat menyelesaikan masalah kebanjiran PATI di negeri itu.

BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Lu orang kasi tulis apa lu orang mau, Wa tak bertanggujawab!

PANDAI BUAT PANDAI TANGGUNG KAHKAHKAH