Tuesday, September 18, 2012

Bendera BN Kena Bakar!


KOTA BHARU - Bukan sekali! Malah lima kali, bendera Barisan Nasional (BN) yang dipacakkan di tepi jambatan Kampung Beris Jambu, Chekok di Pengkalan Chepa, di sini dirosakkan, malah dalam kejadian terbaru, semalam, sebanyak 135 bendera terbabit turut dibakar.

Perbuatan itu disyaki, dilakukan pihak tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pimpinan kawasan berkenaan, mengalami kerugian hampir RM5,000 akibat kejadian itu.
 
Penyelaras Dun Chempaka, Zarina Md Eusope berkata, perbuatan terbabit menunjukkan pelakunya, tidak mempunyai etika dan takut pada bayang-bayang parti sehingga sanggup merosakkan bendera pihak lawan.
 
“Sepatutnya, golongan terbabit berfikir sebelum melakukan perbuatan itu kerana ia menunjukkan sikap yang kurang matang dan bertindak mengikut perasaan.
 
“Masing-masing bebas memilih parti yang mereka percaya boleh menerajui kerajaan, tindakan terbabit tidak langsung menunjukkan budaya kita sebagai seorang yang beragama Islam,” katanya kepada Sinar Harian.
 
Dalam pada itu, Pentadbir Mukim Dun Chempaka, Wan Razman Wan Abd Razak berkata, perkara terbabit berlarutan sejak Mac lalu dan paling teruk semalam, kejadian itu mengundang kesediaan dan kemarahan kami, memandangkan pihak terbabit sewenang-wenangnya membakar bendera BN yang kami pacakkan di kawasan itu.
 
“Kami amat memandang serius mengenai kejadian ini, sepatutnya perkara terbabit tidak berlaku memandangkan kita semua sudah mengecap kemerdekaan ke- 55 tahun.
 
“Seharusnya kita mempunyai sikap yang lebih matang dalam apa jua keadaan dan tidak bertindak mengikut perasaan sendiri,” katanya.
 
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKP) Chekok Zainal Abidin Ibrahim berkata, setakat ini pihak terbabit sudah menyerahkan perkara itu kepada polis.
 
“Kita tidak mahu melihat, generasi muda terikut-ikut dengan budaya ganas yang tidak mengikut norma kehidupan, lagipun kita dilahirkan sebagai golongan Melayu yang beragama Islam.
 
“Seharusnya perkara seumpama ini tidak berlaku di negeri ini memandangkan kita merupakan sebuah negeri di bawah pentadbiran golongan Islam dan diharapkan kejadian seumpama ini tidak berulang,” katanya.
 
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman ketika dihubungi berkata, sehingga hari ini pihak polis masih belum menerima sebarang laporan berhubung kejadian tersebut.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment

Lu orang kasi tulis apa lu orang mau, Wa tak bertanggujawab!

PANDAI BUAT PANDAI TANGGUNG KAHKAHKAH