Pilihanraya Umum Ke 13 (PRU 13) dijangkakan berlangsung
bila-bila masa saja dari sekarang dan sebagaimana biasa, makin dekat musim
pilihanraya maka kian aktiflah para pemimpin pembangkang misalnya dari PAS
mendendangkan semula isu perlaksanaan hukum hudud.
Itulah yang terjadi kini apabila Presiden PAS, Abdul Hadi
Awang tiba-tiba sahaja memberi kenyataan terbuka mendakwa sudah wujud titik
temu di antara DAP dengan PAS berhubung isu hudud PAS yang sedang hangat
diperdebatkan tika ini.
Menurutnya, "Titik persamaan secara umum sudah
disepakati, apabila DAP menerima konsep yang sudah ada dalam perlembagaan
negara, termasuk kedudukan agama Islam.
Bagi PAS sudah cukup menarik untuk memberi ruang
perbincangan sekiranya memerintah negara. Cara ini tidak boleh dilakukan oleh
UMNO dengan rakan-rakan karibnya dalam Barisan Nasional," demikian kata
Hadi dalam satu kenyataannya semalam.
Dari bait demi bait kenyataan rasmi Presiden PAS itu,
ternampak jelas Hadi cuba membersihkan imej keras DAP khususnya dalam hal melibatkan
isu hudud.
Itulah hakikatnya sejak dulu, pemimpin PAS akan senantiasa
mencari hujah yang bersimpul-simpul semata-mata memepertahankan rakan
sepakatannya sekalipun sudah disedarinya DAP tidak pernah berganjak dari
pendiriannya dalam isu tersebut.
Entah di mana wujudnya titik temu bagi DAP dan PAS dalam isu
hudud sukar dimengertikan. Seringkali yang terjadi apabila isu hudud di bawa ke
mesyuarat tertinggi PR akan berakhir dengan kenyataan 'hudud bukan keutamaan
PR" ataupun "hudud tidak akan dilaksanakan sekiranya PR memerintah
negara".
Kemudian macam biasalah, para pemimpin PAS akan gebang
keliling kampung kononnya UMNO yang menolak perlaksanaan hudud. PAS yang
berjanji, PAS yang memasukkan janji hududnya dalam manifesto 1986 dan 1990,
UMNO pula yang dipersalahkan.
Kalau soal penerimaan DAP terhadap Islam sebagai agama rasmi
sebagaimana termaktub dalam perlembagaan negara dijadikan asas oleh Hadi untuk
mendakwa wujudnya kesepakatan diantara mereka, jelaslah Hadi sudah terbelit
dengan lidah sendiri.
Mana tidaknya bila sebelum ini, Hadi jugalah yang
mentakrifkan perlembagaan negara sebagai perlembagaan kafir, jahiliah dan
sekular melalui amanatnya kira-kira hampir 30 tahun lampau, namun kini
perlembagaan itu pula yang dijadikan sandaran oleh PAS untuk menonjolkan konon
sudah wujud kesepakatan dan titik temu antara DAP dengan PAS.
Satu-satu caranya untuk PAS membuktikan betapa seriusnya
mereka untuk melaksanakan hudud mengikut lunas demopkrasi berparlimen ialah
dengan bertanding di minima 167 kerusi parlimen dan menang di
sekurang-kurangnya 148 kerusi tersebut supaya perlembagaan negara dapat dipinda
bagi memberi laluan kepada perlaksanaan hukum hudud PAS.
Soal dasar dan prinsip perjuangan PR pun tidak mampu
ditentukan oleh PAS, hatta untuk menuntut hak kuota bertanding di minima 100
kerusi juga tak tercapai dek kemampuannya, apatah lagi mahu bertanding di 167
kerusi parlimen.
Hadi boleh terus bermimpi indah sambil mengharapkan para
penyokong PAS serta umat Islam keseluruhannya percaya bahawa PAS benar-benar
serius untuk melaksanakan hukum hudud, tapi hakikatnya realiti yang terpampang
depan mata tidak mampu dinafikan oleh mana-mana pihak.
Baik dalam Buku Jingga yang menjadi dasar perjuangan PR dan
dipersetujui oleh PAS mahupun dalam mana-mana mesyuarat peringkat tertinggi
pimpinan PR berkaitan isu hudud, semuanya jelas menunjukkan PR mahupun PAS
tidak akan melaksanakan hukum hudud.
Janji demi janji sejak dulu hingga kini sama ada dari mulut
Presiden PAS mahupun lain-lain pemimpinnya, hanyalah gebang dan dongengan
semata-mata, tak lebih tak kurang hanyalah bertujuan supaya penyokong PAS terus
lena dibuai mimpi indah. Realitinya, jauh panggang dari api.