Pages

Tuesday, August 14, 2012

Ke mana Melayu selepas PRU-13



 
MAHU tidak mahu, persoalan tentang nasib Melayu selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) perlu menjadi keutamaan sesiapa sahaja yang bergelar Melayu.

Persoalan yang pada anggapan sesetengah pihak sebagai `rasis’ ini tidak seharusnya membangkitkan kebimbangan kaum lain kerana realiti hidup berpolitik hari ini membuktikan bahawa kuasa adalah penentu segala-galanya.

Amat malang jika ada orang Melayu sendiri kurang mempercayai hakikat ini hanya disebabkan mereka telah berjaya mencapai status cemerlang atau mampu `berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah’ dengan kaum lain tersebut.

Sewajarnya, kelompok yang berjaya ini harus bersyukur kerana mereka lebih bernasib baik daripada ramai lagi orang Melayu yang sehingga kini masih cuba mengubah kehidupan mereka melalui usaha-usaha dilaksanakan kerajaan.

Mungkin tidak adil jika kita menyalahkan kerajaan yang ditunjangi UMNO akibat kegagalan untuk mengubah nasib sendiri. Ini kerana banyak peluang dan kemudahan telah disediakan. Jika dengan peluang dan kemudahan yang sama, kaum lain boleh berjaya, tentunya ada penyebab mengapa kita masih ditakuk sama.

Fikir-fikirkan dan bermuhasabah diri kerana itu lebih baik daripada terus mencari kesalahan orang lain kerana puncanya mungkin daripada diri sendiri.

Dalam hubungan ini, ada pihak mengambil jalan mudah mengatakan UMNO telah gagal meneruskan misinya. Natijahnya, jika suatu ketika dahulu, UMNO cukup dekat dihati orang Melayu, kini, ia seolah-olah menjadi sebaliknya.

Slogan `UMNO itu Melayu, Melayu itu UMNO’ makin berkubur. Di sebalik apa yang berlaku, kita sebenarnya terlepas pandang untuk mengenali siapa kelompok mereka ini. Ironinya, mereka juga adalah produk yang terhasil melalui dasar-dasar UMNO. Cuma bezanya, kumpulan ini tidak pandai untuk bersyukur.

Kebanyakan mereka ini pula tinggal di bandar-bandar termasuk generasi muda yang kurang memahami istilah keperitan hidup seperti dilalui nenek moyang mereka. Sedangkan masyarakat kampung masih merupakan kelompok terbesar sebagai penyokong setia kepada parti Melayu yang disifatkan keramat ini.

Mungkin dalam benak pemikiran anak-anak muda ini, `melawan arus’ adalah suatu tindakan murni. Mereka bangga melakukannya. Namun, tidak memahami apakah makna sebenar perjuangan dalam konteks sebuah negara bangsa itu sendiri.

Apapun, jika benar UMNO gagal, siapakah yang kita patut harapkan untuk menentukan nasib orang Melayu di negara ini?

Mengambil contoh negeri-negeri yang dikuasai pembangkang ketika ini – Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan Kelantan, apakah ada jaminan untuk orang Melayu mampu mencipta ketamadunan bangsa yang lebih disegani di persada dunia?

Janji-janji pembangkang memang lunak didengar. Seolah-olah semua perkara boleh dilakukan dengan mudah. Lantas, mengaitkan pilihan raya umum akan datang dengan harapan rakyat umpama – menanti cahaya di hujung terowong.

Hina sangatkah Melayu ketika di bawah pentadbiran UMNO dan BN? Jika tanggapan ini benar, mana mungkin di universiti-universiti tempatan masih dipenuhi dengan anak-anak Melayu. Ironinya, anak-anak Melayu ini pula kebanyakannya adalah berasal dari negeri yang ditadbir pembangkang – Kelantan!

Melihat nasib orang Melayu di keempat-empat negeri tersebut pula, wajarkah kita meletakkan harapan setinggi gunung? Dibimbangi ialah pepatah lama `yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran’ akhirnya menjadi kenyataan.

Pulau Pinang semakin pesat membangun, tetapi untuk siapakah sebenarnya pembangunan tersebut? Di manakah kedudukan orang Melayu Pulau Pinang kini?

Keadaan yang sama juga berlaku di Selangor. Hinggakan di mana sahaja ada kawasan lapang walaupun sebelum ini disediakan untuk tujuan rekreasi, terpaksa dikorbankan kononnya atas nama kemajuan. Kepentingan rakyat telah diketepikan demi memenuhi tuntutan syarikat-syarikat besar dan kaya-raya.

Apakah pemimpin-pemimpin pembangkang mengotakan segala janji mereka terhadap rakyat marhain? Yang miskin bukan sahaja terus miskin tetapi tertinggal lebih jauh. Alasan mereka ialah `beri kami peluang menawan Putrajaya dahulu.’

Sekali dengar memang nampak tuntutan pembangkang ini ada asasnya, untuk melaksanakan dasar penting memerlukan kuasa yang besar. Jika yang miskin bertambah miskin, tetapi jangan lupa mereka bukan bukan semakin bodoh.

Taraf kemudahan dan pendidikan yang disediakan kerajaan sedia ada memberi peluang untuk kita semua berfikir lebih matang. Isu kemiskinan adalah soal kemanusiaan. Logiknya, untuk membantu golongan miskin tidak perlu menunggu pihak-pihak tertentu mempunyai kuasa sehingga ke Putrajaya. Cukup jika setiap pemimpin sedar tentang tanggungjawab mereka lantas berusaha melaksanakannya dengan sebaik mungkin. 

Sebaliknya apa yang berlaku ialah pembangkang sering mencari alasan dan akhirnya meletakkan kesalahan tersebut kepada pihak lain.

Mungkin di Kedah dan Kelantan tidak berlaku keadaan pembangunan yang rakus seperti sekutu mereka di Pulau Pinang dan Selangor, tetapi apakah nasib orang Melayu di negeri-negeri tersebut semakin dikagumi berbanding di tempat lain?

Kelantan telah ditadbir oleh Pas sejak lebih 20 tahun lalu. Sekiranya kepimpinan parti tersebut mempunyai formula berkesan untuk mengubah nasib orang Melayu, pastinya tiada lagi rakyat miskin yang akan kita temui apabila berkunjung ke negeri itu. Untuk rekod, Kelantan adalah antara negeri termiskin di Malaysia dengan banyak kemudahan asas tidak terjaga dengan baik.

Sememangnya mudah untuk berjanji. Dan ini adalah cerminan kekuatan pembangkang. Menabur janji juga satu-satunya keserasian pembangkang bagi menutup kelemahan diri sekali gus melepaskan diri daripada tanggungjawab.

Dalam masa sama, mereka juga bersikap bagai `enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing’. Ertinya, setiap parti hanya mementingkan diri sendiri tanpa menghiraukan parti-parti lain semata-mata untuk mendapat ruang kuasa.

Benar, UMNO dan BN pernah melakukan kesilapan. Kemakmuran ekonomi dan kestabilan politik yang dinikmati sebelum ini, hasil kebijaksanaan pentadbiran para pemimpinnya menyebabkan mereka `lupa’ untuk melipatgandakan usaha membantu rakyat yang meletakkan sepenuh kepercayaan kepada mereka.

Sebagai umat Islam, kita akur bahawa apa yang berlaku ada hikmahnya. Syukur, kesilapan yang dilakukan telah disedari. Kini, pemimpin-pemimpinnya berusaha memperbetulkan kesilapan-kesilapan tersebut. Dan nyata ia memberi sinar harapan kepada rakyat bahawa kepimpinan yang ada wajar dipertahankan. Cuma, dalam usaha melakukan penambahbaikkan tersebut, ada suara berharap nasib golongan pertengahan yang kini semakin membesar, diberikan lebih perhatian.

Dalam hubungan ini, PRU-13 menjadi penentu penting. Sama ada UMNO akan terus menjadi tonggak parti pemerintah atau pakatan pembangkang mengambil alih kuasa, kesannya akan terlihat kepada nasib orang Melayu. Realitinya, keputusan tersebut juga akan menentukan bentuk Malaysia di masa akan datang.

Ingatlah sejarah telah melakar banyak tragedi. Dan sedarlah apa yang sedang berlaku dalam negara ketika ini telah pun berlaku di negara-negara lain. Jika kita masih menganggap soal kuasa perkara mudah, fikir-fikirkanlah.

-Siti Mariam Md. Zain

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment

Lu orang kasi tulis apa lu orang mau, Wa tak bertanggujawab!

PANDAI BUAT PANDAI TANGGUNG KAHKAHKAH