Pages

Tuesday, November 12, 2013

Misi KP1M Bantu Mangsa Taufan Haiyan Berlepas Esok!



Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) akan menghantar misi kemanusiaan ke selatan Filipina, esok bagi membantu mangsa taufan Haiyan yang melanda beberapa wilayah di negara itu, Jumaat lalu.

Presidennya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, misi Ke-34 yang dikendalikan KP1M itu akan berlepas kira-kira jam 11 pagi dengan membawa bantuan sebanyak 14 tan dan disertai 38 sukarelawan termasuk petugas media.

Bantuan yang meliputi makanan, ubat-ubatan dan produk nutrisi bayi itu akan dihantar menaiki pesawat Charlie milik Tentera Diraja Udara Malaysia (TUDM), katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Abdul Azeez yang akan mengetuai misi itu, berkata Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Datuk Bandar Cebu akan menguruskan perjalanan misi KP1M yang dijangka pulang ke tanah air pada 17 November nanti.

Tegasnya, Datuk Dr Alwi Abdul Rahman pula akan bertindak sebagai ketua pasukan perubatan dan misi bantuan akan bergerak ke Tacloban, wilayah yang paling terjejas akibat taufan Haiyan yang terletak kira-kira 241 KM dari Cebu.

Beliau berkata lagi, dianggarkan seramai 800,000 penduduk di 39 kawasan wilayah telah dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan yang ditetapkan oleh kerajaan Filipina.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersetuju meluluskan misi bantuan kemanusiaan ke selatan Filipina bagi membantu mangsa taufan itu yang setakat ini sudah mengorbankan kira-kira 10,000 nyawa dan menyebabkan hampir 100,000 rakyatnya hilang tempat tinggal.

“Syarikat tambang murah Air Asia sudi menaja penerbangan misi KP1M ke Filipina di mana kita akan membawa peserta misi kemanusiaan dan bekalan ubat-ubatan seberat tiga tan menggunakan pesawat Airbus A320.

“Misi kali akan disertai 11 doktor, 15 petugas media dan 12 sukarelawan KP1M yang akan bergerak ke empat wilayah yang terjejas teruk akibat taufan Haiyan iaitu Cebu, Tachloban, Iloilo dan Tagbilaran,” katanya lagi.

Abdul Azeez menambah, dianggarkan 5,000 keluarga bakal menerima bantuan yang disalurkan menerusi misi terbabit dan pihaknya juga akan membeli barangan keperluan asas di sana sekiranya perlu kelak.

“Misi menyalurkan bantuan dijangka bermula pada Khamis dan peserta misi dijangka pulang ke tanahair pada Ahad nanti,” jelasnya.